Alhamdulillah, pada (7 Ogos 2016) berlangsungnya International Forum on Maqasid Shariah: Maqasid Perspectives on First Nation Building (Pembinaan Negara Maju Dari Perspektif Maqasid Syariah) yang berlangsung di Hotel Gurney, Pulau Pinang. Forum tersebut telah dihadiri oleh Profesor Dr. Jasser Auda yang dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang bersama Akademi Intellektual Muda (AIM) dan Maqasid Institute Malaysia.
Di bawah ini dicatatkan sedikit sebanyak mengenai profil Profesor Dr. Jasser Auda.
1. Pemegang PhD dalam falsafah undang-undang Islam Universiti Wales.
2. Pemegang PhD dalam analisis sistem Universiti Waterloo, Kanada.
3. Pengerusi Pengajian Maqasid Al-Shatibi di International Peace College, Afrika Selatan.
4. Pengarah Eksekutif Institut Maqasid (badan pemikir global yang berpusat di London).
5. Beliau telah menulis 25 buah buku dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris (sebahagian daripada buku-buku tersebut telah diterjemahkan ke 25 bahasa).
6. Pernah menjadi Profesor di Universiti Waterloo (Kanada), Universiti Alexandria (Mesir), Universiti Islam Novi Pazar (Sanjaq), Fakulti Pengajian Islam Qatar dan Universiti Amerika Sharjah.
Dr. Jasser Auda ( Pakar Maqasid Syariah dan juga Ulama terkemuka Dunia) juga pernah berbincang dan berjumpa bersama-sama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Ulama Islam terkemuka dunia Dr. Yusof Al-Qardawi suatu masa dahulu. Dr Jasser juga pernah menjejakkan kaki ke Malaysia hadir bersama dengan YB Dr. Wan Azizah (Ahli Parlimen Permatang Pauh) melaksanakan program dialog Muslim Democrats suatu masa dahulu.
Dan pada malam sebelum berlangsungnya forum tersebut YB Dato’ Mohd Rashid Hasnon TKM1 Pulau Pinang mengulangi sejarah pertemuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan bertemu dengan Dr. Jasser Auda berbincang mengenai hala tuju maqasid syariah di Pulau Pinang dan kata persetujuan yang amat positif mengenai penubuhan maqasid Institute suatu masa nanti Insyaallah.
Ini merupakan sejarah titik tolak maqasid syariah yang ditekankan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya dilaksanakan sebagai salah satu elemen di dalam pentadbiran kerajaan yang berteraskan “Good Gorvernance”. Ia memerlukan usaha berterusan dari semua pihak tanpa mengira fahaman politik, ideologi, fikrah, agama dan sebagainya.
Walaupun penulis diberi kerpercayaan oleh Maqasid Institute, AIM dan Pejabat Timbalan Ketua Menteri (1) dalam masa seminggu untuk melakasanakan program ini disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Majlis forum maqasid syariah ini berjaya dilaksanakan dengan baik dengan kehadiran 80 orang Alhamdulillah…
Ini juga hasil kejayaan bersama oleh pihak-pihak yang terlibat sama ada dari sokongan pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Pejabat Mufti, Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Institute dan juga para peserta yang hadir amnya.
Berikut ialah kenyataan media YB Dato’ Mohd Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang) :
Kenyataan Media Dato’ Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
INTERNATIONAL FORUM ON MAQASID SHARIAH “MAQASID PERSPECTIVES ON FIRST NATION BUILDING”
FORUM ANTARABANGSA TENTANG MAQASID SYARIAH YANG BERTAJUK PEMBINAAN NEGARA MAJU DARI PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH.
============================================================================
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Tengah Hari.
Pengenalan dan Definisi
1) “MAQASID PERSPECTIVES ON FIRST NATION BUILDING” yang akan diperbincangkan dalam International Forum on Maqasid Shariah pada 7 Ogos ini yang akan menampilkan pakar Maqasid Shariah antarabangsa, Prof. Dr. Jasser Auda adalah suatu kerangka pembinaan sebuah negara atau negeri yang bukan sahaja maju, kompeten, sejahtera dalam sudut lahiriah semata-mata, bahkan penumpuan khas harus diberikan kepada sisi kedua iaitu memanifestasi matlamat Baldatun Tayyibatun Wa Rabbu Ghafur.
2) Kemajuan dan kejayaan yang dikecapi dan ingin dikecapi mestilah berada selari dengan nilai yang difokuskan dalam diskusi Maqasid Shariah di mana menurut ramai ulama’ muktabar ketika ini mentakrifkan peranan mengurus insan/modal insan Hifz Nafs berada di prioriti dalam senarai lima teras maqasid Syariah dalam syara’. Kelima-lima teras Maqasid Syariah iaitu memelihara jiwa, akal, agama, harta dan keturunan.
3) Dahulu ulama’ mentakrifkan Hifz Nafs sebagai menjaga nyawa yang utama, namun hari ini ia harus lebih difahami dengan konteks yang lebih dekat dengan semangat zaman.
4) Hifz Nafs ini simbolik kepada tugas besar pemerintah iaitu Imaratul Ardh (mengurus pembangunan zahiriah dan batiniah) di mana nilai-nilai kepimpinan dan kepemimpinan adalah menjadi kunci kepada kejayaan sesebuah negara atau negeri berkenaan.
Matlamat
5) Pelaksanaan International Forum on Maqasid Shariah ini bertitik tolak dari aspirasi dan cita-cita Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam merealisasikan asas-asas prinsip Maqasid Shariah dalam pentadbiran dan pengurusan demi mencapai natijah akhir iaitu ketelusan, kemajuan, dan kebajikan sosial khusus untuk masyarakat di negeri ini.
6) International Forum on Maqasid Shariah ini dicita-citakan menjadi platform kefahaman masyarakat mengenai hasrat besar Kerajaan Negeri. Diskusi bersama pakar Maqasid Shariah ini nanti dijangka menjadi langkah pertama bagi usaha memartabatkan Maqasid Syariah melalui projek penginstitusian, penyelidikan, pendidikan dan sebagainya dengan komitmen penuh dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta institusi naungan negeri.
Penutup
7) Program International Forum on Maqasid Shariah pada 7 Ogos ini ini adalah lambang komitmen penuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengkaji, membangun dan memartabat Maqasid Shariah. Semoga dengan usaha berterusan seperti ini disambut baik oleh semua pihak terutama rakyat di Pulau Pinang.
8) Saya mewakili sekretariat penganjuran dengan ini menjemput rakyat negeri terutama anda semua bagi menghadiri sesi program berkenaan untuk berdiskusi dan bertukar idea demi mencapai aspirasi, cita-cita dan kepentingan yang kita kongsi bersama.
Sekian, Terima Kasih,
Dato’ Haji Mohd Rashid B. Hasnon
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
4 Ogos 2016
Berikut ialah rakaman video dan gambar semasa sepanjang program tersebut berlangsung.
Dr. Jasser Auda memberi penerangan mengenai Maqasid Syariah
YB Dato’ Mohd Rashid Bin Hasnon berucap untuk Perasmian International Forum Maqasid Syariah Pulau Pinang.
Hadirin mendengar penuh tekun dan khusyuk mengenai Maqasid Syariah baru-baru ini.
Booth buku di buka untuk memberi bahan bacaan mengenai Maqasid Syariah, serta buku Ilmiah yang lain.
Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Abdul Malek Kassim menerima buku Maqasid Shariah dari sekretariat Program dan Dr. Jasser Auda.