MUFTI OF FEDERAL TERRITORY

Mutakhir ini, kami mendengar banyak isu yang dilontarkan dalam media sosial dengan begitu bebas dan terbuka oleh sebahagian masyarakat. Kadang-kadang isu yang dikemukakan tersebut mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan serta jawapan yang tuntas.

Lambakan isu yang sepatutnya perlu dihadam terlebih dahulu, telah dijatuhkan hukuman dalam bentuk amat mentah atau separuh masak. Lebih malang lagi, gambaran hakikat subjek perbincangan ternyata amat kabur, bahkan hanya bersifat tumpang semangkuk.

Inilah kebanyakan realiti hiwar atau dialog yang berlaku sedangkan gambaran dan tasawwur sebenar sesebuah hakikat perlulah menjadi asas utama sebelum melangkah kepada perbincangan. Satu kaedah yang masyhur menyebut:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

MaksudnyaBerhukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang dari proses mengenalpasti gambaran sebenar perkara tersebut.

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama’ yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur adalah menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah yang dimaksudkan dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata hanya gambaran di zihin pada akal dari sesuatu.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59)

Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Tasawwur kadang-kadang membawa maksud dengan ilmu atau pengetahuan. Ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir, yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Justeru dalam Qalam Mufti pada kali ini, saya tajukkan dengan Hiwar Atau Dialog: Apa Silap Kita?

Mengambil petikan tajuk daripada sebuah buku karya Dr. Jasser Auda, Dialog Antara Islamis dan Kem Sekular serta Liberal, antara lain beliau berkata: Dialog antara Islamis dan golongan sekular ini membina landasan yang disepakati bersama dalam masyarakat. Selain itu, ia akan menempatkan identiti bersifat Islam di negara-negara sivil yang diimpikan supaya menjadi jelas, terbentuk dan padanya berlaku dimensi-dimensi sivil dan kontemporari yang penting.

Kita tidak mahu pemikiran bertukar menjadi ‘Islamik’ yang bertentangan dan bercanggah dengan kadar yang disepakati dalam kalangan masyarakat. Iaitu pemikiran yang dianggap tinggi oleh kemodenan dan meranapkan rukun-rukun masyarakat.

Kita juga tidak mahu pemikiran Islam yang bersifat memencilkan dirinya, atau pun berdialog dengan dirinya sahaja. Ini kerana dengan itu, ia akan hidup pada zaman lain yang dilakar oleh batas-batas Geografi, kebudayaan dan sistem pemerintahan yang berbeza seratus peratus daripada sistem sivil semasa yang diimpikan dengan rujukan Islam. (Lihat Memahami Maqasid al-Syari’ah, hlm. 176)

Walaupun begitu, kami syorkan di sini beberapa perkara, antaranya:

  • Perlunya penambahan ilmu dan memperkasakannya oleh cendekiawan Islam.
  • Kajian yang mendalam khususnya berkenaan agama Islam sendiri menerusi kitab-kitab turath atau moden hendaklah diperluaskan.
  • Menghidupkan budaya muzakarah dengan tokoh-tokoh dan cendekiawan Islam terlebih dahulu sebelum memasuki arena yang lebih terbuka dan luas.
  • Binalah dialog dalam perkara yang menyentuh kehidupan realiti dalam kerangka yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
  • Dialog atau hiwar perlulah memahami kaedah-kaedah yang tenang dan harmoni serta memahami rukun-rukunnya. Ini telah dinyatakan dalam buku Adab al-Bahth wa al-Munazarah oleh ramai tokoh.

Semoga kita sentiasa ditunjukkan kebenaran untuk mengikuti dan menjunjungnya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”